Peranan Ahli Majlis Daerah Tanjung Malim adalah sebuah organisasi yang efektif dan berwibawa di dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduK untuk memajukan dan menjaga hal ehwal keselamatan penduduk kawasan ini serta secara tidak langsung dapat membantu menjana pembangunan ekonomi negara. Organisasi seperti ini juga menjadi tunggak utama penyumbang kepada pembangunan di kawasan setempat. Hal ini kerana, ianya bukan sahaja memainkan peranan penting sebagai penasihat bagi penduduk tempatan yang menghadapi masalah, malah turut juga memainkan peranan untuk menyampaikan kepada kerajaan yang memerintah tentang keperluan awam serta keselesaan penduduk.
 

Persatuan warga emas yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Tanjung Malim adalah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE). Penyelia PAWE Tanjung Malim, Puan Yam Binti Abdul Hamid sentiasa aktif dalam mewujudkan pelbagai program dan aktiviti bagi memastikan komuniti warga emas di sekitar Tanjung Malim sentiasa mendapat manfaat menjalankan aktiviti harian yang melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan yang lain dan NGO.

Objektif penubuhan PAWE adalah seperti berikut:
1. Meluaskan kemudahan-kemudahan untuk kesejahteraan dan pembangunan warga emas
2. Ruang kepada warga emas rasa dihargai melalui perkongsian pengalaman & kepakaran mereka
3. Menggalakkan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak
4. Memberi alternatif kepada kumpulan warga emas daripada kategori keluarga berpendapatan rendah; dan
5. Meningkatkan kualiti hidup warga emas selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif

Pelbagai aktiviti / program ada disediakan di Pusat Aktiviti Warga Emas seperti:
1. program keagamaan
2. program rekreasi
3. program terapi dan pemulihan
4. program ceramah kesihatan
5. latihan atau kursus yang bersesuaian

 

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) adalah di bawah Jabatan Perpaduan Negara bergerak aktif dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan berbentuk keselamatan dan pembangunan komuniti. Organisasi Kawasan Rukun Tetangga ini telah dipengerusikan oleh Encik Mohd Nawawi Bin Idris yang bergiat aktif di Tanjung Malim. 

Antara peranan organisasi KRT adalah seperti menjalankan apa - apa aktiviti bagi meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibah, keharmonian, keselesaan, keamanan, kerjasama, keselamatan, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan ekonomi dan kualiti di kalangan anggota masyarakat serta menjalankan apa - apa fungsi dan tugas lain yang diarahkan oleh Ketua Pengarah dari semasa ke semasa.

 

KRT TG.Malim

Sumber: Facebook KRT Tanjung Malim Perak

Kawasan Tanjong Malim terletak di terletak di selatan negeri Perak di dalam Mukim Hulu Bernam Timur, Daerah Muallim dan sangat berhampiran dengan sempadan negeri Selangor di mana menjadi kawasan paling hampir dengan Daerah Hulu Bernam, Selangor. Untuk pengetahuan tambahan, Tanjong Malim terletak betul-betul di sebelah utara Sungai Bernam. Sungai Bernam menjadi garis sempadan antara negeri Perak dan Selangor. Tempat yang berhampiran dengan Tanjong Malim ialah Ulu Bernam, Kalumpang, Ketoyong, Behrang, Behrang Ulu, Kampung Kelawar dan Slim River.

Penduduk di sekitar Tanjong Malim kebanyakkannya bekerja dalam sektor pendidikan, perkhidmatan dalam teknologi dan kesihatan, perkilangan & pembuatan, tanaman estet, pengangkutan dan perniagaan. Penduduk di sini mendapat pelbagai kemudahan dan perkhidmatan seperti kesihatan, perbankan dan keperluan harian di Pekan Tanjong Malim yang jaraknya kira-kira 5 kilometer.

Antara kemudahan infrastuktur dan tempat tumpuan yang terdapat di Tanjong Malim seperti Universiti Pedidikan Sultan Idris (UPSI), Stesen Bas & Stesen Keretapi Tanjong Malim, Kilang Proton, Institut Tanah & Ukur Negara (INSTUN), dan banyak kawasan rekreasi di sekitar Tanjong Malim. Kawasan tumpuan seperti ini menjadikan Tanjong Malim sebuah bandar yang padat dengan penduduk dari golongan pelajar IPT, golongan yang bekerja dan golongan pesara pencen.