PSAS

PSAS yang dahulunya dikenali sebagai Politeknik Tanjung Malim (PTM) adalah Politeknik ke 15 ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. PTM mula beroperasi di bangunan Sekolah Menengah Teknik, Slim River pada 1 Mac 2002. Pada 1 April 2003, PTM berpindah ke kampus sendiri berkeluasan 110 ekar di Behrang, Perak. Kampus PTM dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur sesuai sebagai sebuah pusat pengajian tinggi. Kumpulan pelajar pertama seramai 553 orang telah mendaftar pada 6 Julai 2003.

Pada 27 Mac 2004, PTM dengan rasminya bernaung di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan menawarkan 7 program sijil dan 8 program diploma pada ketika itu. Pada 7 Mei 2005, PTM telah dirasmikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dengan diberi nama baru, Politeknik Sultan Azlan Shah.

 Bermula Julai 2010, PSAS menumpukan kepada 14 Program Pengajian di peringkat Diploma dan 1 Program Pengajian di peringkat Diploma Lanjutan iaitu Diploma Lanjutan Kejuruteraan Rekabentuk dan Pembuatan Automotif yang mula dikelolakan pada Julai 2010. Program ini adalah usahasama di antara pihak Proton Holdings Berhad bersama pihak Politeknik Sultan Azlan Shah yang menggunakan pendekatan Work Based Learning (WBL). Sehingga kini seramai 89 orang pelajar telah berdaftar di dalam program pengajian tersebut dan bergraduat pada Majlis Konvokesyen yang ke 10. Program pengajian lain dikelolakan oleh 4 Jabatan utama di PSAS iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan, disokong oleh 2 jabatan sokongan iaitu Jabatan Pengajian Am dan Jabatan Matematik dan Sains Komputer. Pihak pengurusan pentadbiran PSAS dibantu oleh 14 unit sokongan dan perkhidmatan.

 

Sumber : Laman Web Rasmi Politeknik Sultan Azlan Shah

UPSI

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan pada 1 Mei 1997 di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.

UPSI terletak di Tanjong Malim Perak Darul Ridzuan. UPSI mempunyai dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang bitara dalam kepimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan sejarah serta menerajui perubahan global.

UPSI begitu komited untuk membawa perubahan dalam pendidikan melalui penyebaran ilmu menerusi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat dalam konteks pembangunan modal insan cemerlang di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Sehingga Istiadat Konvokesyen Ke-16 yang berakhir pada September 2014 lalu (1999 – 2014), UPSI telah melahirkan seramai 38,820 graduan sarjana muda, diploma, dan ijazah lanjutan (Kedoktoran dan Sarjana).